“Femme Fatale” adalah wanita tabah dan tegas yang
berani mengharungi pelbagai cabaran demi mencapai sasarannya. Dia sanggup
melakukan apa sahaja demi mendapat apa yang diingininya malah tiada seorang
lelaki pun yang boleh menggagalkan setiap perancangannya. Wanita seperti ini
kerap menjadi ikutan kerana sering digambarkan mempunyai karisma yang
tersendiri, berjiwa kental dan mempunyai perwatakan tegas dan seksi di mata
lelaki. Mereka juga sering mempermainkan lelaki yang cuba untuk menggoda mereka
dan hampir mampu menewaskan lelaki dalam apa jua bidang. Novel-novel di pasaran
kini juga tidak kurang hebatnya dalam menampilkan watak-watak heroin yang
demikian. Jom kita lihat beberapa novel yang mengangkat ciri-ciri wanita “femme
fatale” ini sebagai heroin utama mereka. Jom checkidout!
AMAH
Novel yang agak seksi untuk bacaan anda kerana
menampilkan konsep obsesi seorang wanita kepada sebuah kehidupan yang sempurna.
Watak utama iaitu Leah merupakan seorang gadis muda warga Filipina yang bekerja
sebagai amah yang menjaga anak-anak Lisa, iaitu majikannya. Leah inginkan hidup
yang sempurna dan itulah misi utamanya sehingga dia menerima pekerjaan sebagai
amah di rumah tersebut. Malah Leah juga telah mengambil kesempatan dengan
menggoda suami Lisa, iaitu Benjy dan berusaha untuk merampas kebahagiaan Lisa
sekeluarga.
TIPU
Novel yang berkisarkan skandal pelajar kolej dan
guru mereka. Walaupun merenampilkan tema yang agak menjolok mata namun garapan
penulis Epel ini menjadikan plot berkenaan sangat menarik. Berkisarkan dendam
seorang pelajar, Esya terhadap gurunya, Azhan yang mengambil kesempatan ke
atasnya dan merogolnya sehingga Esya tidak ditinggalkan apa-apa pilihan kecuali
membalas perbuatan tersebut dengan sadis dan tragis. Dapatkah Esya
menyempurnakan misinya untuk menggoda Azhan lalu membunuhnya?
ASLEEP
Novel yang bergenre seram tetapi masih menampilkan
elemen “femme fatale” pada karakter wanita utamanya. Jalan cerita yang ringkas
namun digarap dengan baik oleh penulis sehingga endingnya tidak dapat dijangka
langsung. Berkisarkan tentang Aminah yang separuh gila kerana sering dihantui
oleh roh tunangnya, Andika yang tidak tenang. Segalanya bermula apabila Aminah
mengambil keputusan untuk membunuh Andika dengan meracunnya kerana dia tidak
mahu kekasihnya itu berpaling tadah.
KACAU
Novel yang bertemakan mistik namun digarap dengan
baik untuk memberikan unsur suspen dan kejutan kepada pembaca. Kisah yang
berorientasikan seram paranormal ini lebih mengetengahkan elemen sihir dan
sumpahan iaitu mengenai watak utama iaitu Lily yang dikenakan sejenis sumpahan
daripada seorang wanita tua. Wanita tua tersebut merupakan antara pelanggan
yang mana dia seringkali berurusan. Pergolakan emosi dalam menghapuskan
sumpahan tersebut menjadikan novel berkonsep psiko thriller ini cukup memikat.
JALANGKAH AKU
Novel yang sarat dengan mesej dan mempunyai unsur
yang menjolok mata namun mesej yang disampaikan oleh penulis cukup tajam.
Kebijaksanaan penulis menangani isu-isu yang sensitif seperti ini menunjukkan
kematangan penulis itu sendiri. Zulaikha yang membesar dalam keluarga yang
porak poranda telah mengalami keperitan hidup dan menanggung derita akibat
daripada serangan seksual daripada lelaki-lelaki yang pernah menetap di
rumahnya. Bagaimanakah Zulaikha mengharungi hidup yang penuh onak dan ranjau
ini setelah meneriima nasib yang sedemikian?
0 comments:
Post a Comment